Monday, January 18, 2010

20 september 1994

tidak cukupkah
tanda kata yang diutus
bicara salam yang terungkap
atau sebenarnya
kau mahu aku mencatat
sejarah ini atas
prasasti yang indah lestari
agar satu kurun nanti
tatkala terungkap setelah
ditelan bumi
oleh zuriat yang tidak
kita kenali
bahawa rasa rahsiaku padamu
ini
telah kau terima?

14 november 1993

kasihku
hadirlah dirimu
dalam ulit mimpi siangku
terlalu rawan kini
walangku
pada perkasihan hamparan cindai cinta
yang kita tenun bersama

kasihku
datanglah padaku
dalam ilusi malam
yang tercarik
dengan kata rindu yang berjejal
dengan rasa kasih yang terpintal
agar aku mengerti
apa erti rahsia rangkaian cintamu
apa maksud tangkai reranting rindumu

kasihku
sudilah mampir
dalam lena yang asyik,
akan aku dendangkan
lagu irama nyanyian bombastik
untuk menyatakan padamu
betapa pejalnya
rasa hatiku yang teguh lestari

datanglah kasihku
hadirlah mampir
dalam ulit mimpi siang malamku
sebagai fantasi terindah buatku